bisnes

Gabung MAVCOM - CAAM untuk kebaikan industri

Oleh Nabil Basaruddin

KEPUTUSAN kerajaan untuk menggabungkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah untuk menggalakkan perkembangan industri dan memperkasakan sektor penerbangan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan telah membuat keputusan berkenaan hal terbabit dan akan meneruskan seperti apa yang telah dipersetujui seterusnya membawa perkara berkenaan ke Parlimen.

Beliau berkata, mengambil contoh negara lain, hanya terdapat satu pihak berkuasa dalam pengawalseliaan sektor penerbangan dan menerusi langkah rasionalisasi melalui penggabungan ini kerajaan merasakan ia adalah satu tindakan yang tepat.

“Kami juga mahu memperkasakan CAAM dan mahu membantu agensi ini untuk kembali berada pada Kategori 1 setelah diturunkan kepada Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat.

“CAAM diturunkan penarafannya sebelum ini kerana dilihat tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan dengan penggabungan ini ia akan memantapkan kembali agensi itu dan membantu memperkasa penetapan bayaran fi seterusnya menjadi lebih mantap pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program #JOMTEKSI oleh TNG Digital di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, seperti di negara lain model pengawalseliaan penerbangan mereka tidak mengasingkan agensi pengawalseliaan yang mempunyai fungsi teknikal, sebaliknya ia turut berkuasa ke atas aktiviti ekonomi berkaitan yang lain.

“Oleh itu kerajaan mengambil keputusan untuk menggabungkan MAVCOM dan CAAM serta mewujudkan satu agensi tunggal saja.

“Penggabungan ini akan membantu memperkemas dan memperkasa CAAM dari pelbagai aspek termasuklah kewangan dan sebagainya sekali gus memperkukuhkan sektor penerbangan negara,” katanya.

Berdasarkan laporan, kerajaan akan membubarkan MAVCOM dan fungsi utama agensi berkenaan dipindahkan kepada bertujuan mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada bagi kedua-dua badan kawal selia penerbangan awam negara itu.

Langkah rasionalisasi itu turut akan membabitkan beberapa perubahan dari segi perundangan antara lain, pemansuhan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] serta pindaan terhadap Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta 788].

Selain itu, pada 11 November lalu, FAA memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini, hasil daripada Kajian Semula FAA ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menurunkan taraf keselamatan udara CAAM ke Kategori 2 selepas tidak berpuas hati dengan 33 perkara daripada 300 perkara yang diaudit.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 2:03pm
d