bisnes

Program Protege lahir bakat sektor perbankan

Oleh hmdigital

BANK Rakyat berharap dapat melahirkan lebih ramai bakat dalam sektor perbankan tempatan melalui program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege).

Program terbabit dijalankan oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat sebagai sebahagian komitmennya dalam memperkasa modal insan di Malaysia.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) turut akan memberi tumpuan kepada kemahiran keusahawanan intensif.

Beliau berkata, kumpulan graduan yang menyertai Protege ini akan diberikan latihan dalam kelas serta pengalaman sebenar di tempat kerja bagi membina asas kukuh untuk masa depan.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk melatih kira-kira 100 Protege di Bank Rakyat dan setelah melalui sesi temu duga kami berjaya mendapatkan 50 peserta dan 40 graduan bersetuju.

“Sehingga hujung tahun ini kami akan melaksanakan lagi usaha ini bagi mencapai sasaran ini serta meluaskan capaian program Protege oleh Bank Rakyat ke Sabah dan Sarawak,” katanya pada majlis pelancaran Protege Bank Rakyat, semalam.

Antara kriteria kelayakan untuk program ini termasuklah aktif dalam aktiviti kokurikulum, keperibadian yang menarik, kemahiran komunikasi yang baik serta berkemahiran berfikir secara analitik.

Rosman berkata, program yang akan disertai graduan diploma dan ijazah itu berpeluang untuk menjalani program latihan sebagai Perantis Penasihat Kewangan bagi memperoleh pengalaman dalam sektor perbankan.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 10:46am
d