bisnes

Siri setem Ejen Ali untuk peminat animasi

Oleh Bisnes HM

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bekerjasama dengan Primeworks Studio dan WAU Animation untuk mengeluarkan siri setem Ejen Ali edisi terhad, bersempena dengan filem animasi Ejen Ali The Movie.

Ia adalah filem animasi Malaysia yang paling hangat ditayangkan di pawagam sejak 28 November 2019 dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa dua minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Ejen Ali The Movie adalah filem animasi pertama yang diabadikan pada setem pos edisi istimewa tempatan.

“Kami berazam untuk terus membuka peluang kepada usahawan muda dan bakat tempatan bagi menggalakkan kreativiti dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Matlamat kami juga adalah untuk menggalakkan peminat dari segenap lapisan masyarakat untuk menjadikan aktiviti mengumpul setem sebagai hobi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Setem edisi khas akan menampilkan 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie yang terdiri daripada Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Comot, Ejen Bakar, Ejen Rizwan, Ejen Fit, Ejen Bobby, General Rama & Kawan-Kawan, Niki dan Pengganas.

Siri Setem Ku edisi terhad ini akan dijual pada harga RM35 setiap satu set yang terdiri daripada helaian setem mengandungi 10 keping setem, sampul surat, poskad dan folder yang menampilkan kesemua 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie.

Peminat boleh membeli set setem Ejen Ali mulai 18 Disember 2019 di 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara atau secara dalam talian.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 2:39pm
d