bisnes

Sidang Kemuncak KL bincang hal ehwal ummah

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin

KEGAGALAN segelintir negara Islam untuk bangkit semula selepas berdepan peperangan menjadi persoalan yang perlu diberi perhatian.

Ini kerana walaupun banyak negara yang berdepan masalah sama dapat pulih dan berkembang menjadi negara membangun, terdapat negara dengan populasi penduduk Islam yang tinggi gagal berbuat demikian.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dengan terperinci di peringkat tertinggi namun, buat masa ini hanya disertai beberapa negara Islam.

“Sebagai permulaan, hanya beberapa negara Islam yang turut serta.

“Agak mustahil untuk menghimpunkan semua negara Islam seluruh dunia kerana sebarang penyelesaian yang dicadangkan mungkin tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada ucapan alu-aluan sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta lain-lain pemimpin negara Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Perdana Menteri yang juga pengerusi sidang kemuncak ini turut menegaskan bahawa tidak ada sesiapa akan didiskriminasi atau diasingkan.

“Kita cuba bermula secara kecil dan sekiranya idea, cadangan dan penyelesaian diterima serta boleh dilaksanakan, maka kita akan membawanya ke platform lebih besar untuk dipertimbangkan,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sidang kemuncak itu dianjurkan bukan untuk berbincang mengenai agama, sebaliknya ia perbincangan mengenai hal ehwal ummah.

“Islam, kaum Muslim dan negara mereka berada dalam krisis dan tidak berdaya sedangkan agama ini sepatutnya menjadi yang terbaik untuk umat manusia.

“Atas alasan-asalan inilah sidang kemuncak ini dianjurkan, dan setidak-tidaknya peserta mungkin dapat mengenal pasti di mana silapnya, menerusi perbincangan pada sesi sidang ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 12:20pm
d