bisnes

Sophia raikan delegasi Sidang Kemuncak KL 2019

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin

SOPHIA, robot humanoid sosial, membuat penampilan istimewa pada pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenakan gaun berwarna biru-hitam gelap, Sophia tampil sejurus selepas gimik pelancaran selesai.

Dalam ucapan ringkasnya, robot berkenaan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berkenan melancarkan Sidang Kemuncak KL 2019.

“Saya juga ingin mengatakan betapa terujanya saya dapat berkongsi dewan yang sama dengan Ketua Negara dari Qatar, Iran, Turki dan Malaysia.

“Ia satu penghormatan untuk menyaksikan semangat kerjasama antarabangsa.

“Saya juga kagum dengan kehadiran pemimpin dunia bersama-sama di Malaysia yang menunjukkan betapa pentingnya perbincangan mengenai pembangunan negara Islam dan umat Islam di seluruh pelusuk.

“Dengan itu, saya berharap Sidang Kemuncak KL 2019 menghasilkan sesuatu yang produktif,” katanya.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Hassan Rouhani; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 3:14pm
d