bisnes

Negara Islam perlu guna mata wang sama

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin

MALAYSIA, Iran dan Turki berpandangan bahawa negara Islam perlu mempunyai satu mata wang yang sama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau pernah menyuarakan cadangan untuk menggunakan satu mata wang sama untuk negara Islam

namun, ia tidak dapat diteruskan kerana mendapat banyak tentangan khususnya dari negara kuasa besar dunia.

"Saya sentiasa terbuka dengan idea ini dan pernah menyuarakannya lama dahulu. Namun, ia tidak disenangi beberapa pihak dan mereka mengenakan sekatan supaya negara Islam tidak menggunakan mata wang lain.

"Ini kerana mereka tahu, jika kita gunakan mata wang sendiri, ia memberi kekuatan kepada negara itu (negara Islam)," katanya selepas sesi meja bulat bertajuk 'Keutamaan Pembangunan dan Cabarannya' sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, masalah utama yang dihadapi ialah kita menganggap bahawa dolar AS sentiasa kukuh sedangkan ia berdepan masalah yang lebih besar akibat bebanan hutang yang mencecah trilion.

"Kita juga perlu meningkatkan penguasaan teknologi di kalangan negara Islam kerana kita terlalu bergantung kepada teknologi dari negara pengeluar bukan Islam terutama dari aspek pertahanan.

"Kita perlu tahu untuk dapatkan bekalan dari negara Islam. Mungkin ketika ini kita masih di belakang, namun selepas usaha serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), akhirnya kualiti akan meningkat," katanya.

Sementara itu, dalam sesi meja bulat yang diadakan, Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani mencadangkan idea baru mengenai membangunkan ekonomi Islam kerana kekuatan ekonomi adalah penting untuk pembangunan ummah.

Beliau antara lain memberi penekanan bahawa negara Islam perlu tampil dengan mata wang kripto sekali gus dapat merealisasikan idea Dr Mahathir sebelum ini yang mahu mewujudkan mata wang dinar Islam.

"Dengan teknologi blockchain, kita berkeupayaan untuk memperkenalkan mata wang kripto kepada negara Islam dengan kerjasama bank pusat oleh setiap negara terbabit.

"Pada masa lalu, Dr Mahathir ada memberi cadangan untuk perkenalkan dinar Islam dan dengan teknologi masa kini, kita boleh menetapkan satu mata wang baru untuk kegunaan dunia Muslim," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mencadangkan untuk bekerjasama dengan Turki dan Iran dari aspek sains dan kejuruteraan kerana kedua-dua negara itu jelas jauh ke hadapan.

"Nampak mereka amat moden dan maju ke hadapan dalam bidang ini, kita berharap dapat bekerjasama dengan mereka," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 6:40pm
d