bisnes

Tingkat kerjasama

Oleh Nabil Basaruddin

TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) komited memperkukuhkan perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) Touch ‘n Go eWallet dengan meningkatkan kerjasama bersama komuniti perniagaan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, komuniti terbabit termasuk perusahaan kecil dan sederhana, suri rumah, kedai pop-up dan pemilik perniagaan di sekitar serta luar Lembah Klang.

Beliau berkata, usaha terbabit bertujuan mendidik, memberi pendedahan dan berinterkasi bersama pengguna serta rakan kongsi yang berpotensi.

“Di sekitar Lembah Klang, kami meninjau kawasan dengan trafik orang ramai yang tinggi seperti Brickfields atau Changkat dan Bukit Bintang dalam usaha meluaskan pedagang untuk e-dompet ini.

“Kami juga melihat prospek usaha sama dengan peniaga pasar malam dan pasar tani untuk dijadikan sebagai peniaga atau pedagang bersama Touch ‘n Go eWallet.

“Setakat ini kami mempunyai 19 daripada 26 peniaga pasar tani di Taman Guar Perahu berhampiran Bukit Mertajam yang menawarkan khidmat e-dompet,” katanya, di sini.

Selain kawasan sedia ada, Ong berkata, pihaknya turut meneroka lokasi tertentu di Kelantan dan beberapa kawasan di negeri pantai timur.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 9:59am
d