bisnes

Rekod cemerlang jualan akhir tahun

Oleh Nabil Basaruddin

LAZADA Malaysia terus mencatat rekod cemerlang pada jualan hujung tahun, 12.12 Grand Year End Sale dengan menyaksikan penggunaan Lazada Wallet tertinggi.

Malah, satu daripada dua rakyat negara ini memilih dompet elektronik (e-dompet) digital milik platform e-dagang itu sebagai penyelesaian pilihan pembayaran di Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, pada waktu puncak, kadar transaksi e-dompet jika dibandingkan dari tahun ke tahun untuk setiap minit, ia meningkat lebih dari 236 peratus.

Beliau berkata, platform e-dagang itu turut mempamerkan kemampuan logistik terbaik kerana berjaya melakukan penghantaran pertama dalam tempoh 39 minit selepas kempen bermula 12 Disember 2019.

“Melalui jualan ini, kami terus memberi pengalaman terbaik melalui inovasi Kedai Konsep Baharu untuk terus kekal satu langkah di hadapan selain menawarkan lebih nilai tambahan kepada jenama dan penjual kami sebagai platform dipercayai.

“Pada awalnya, Lazada Wallet direka sebagai penyelesaian kepada kesesakan infrastruktur pembayaran untuk memastikan proses beli-belah yang stabil dan lancar,” katanya.

Chow berkata, pihaknya turut meluaskan capaian kemudahan penggunaan Lazada Wallet dengan membawakan ciri offline bagi mempamerkan potensi offline dan online.

“Dengan peningkatan penggunaan Lazada Wallet ini, kami dapat melihat pengguna di Malaysia kini lebih memilih solusi tanpa tunai dan meningkatkan usaha bagi menggalakkan penggunaannya tahun depan,” katanya.

Katanya, penggunaan Lazada Wallet itu membolehkan pelanggan membeli baucar tunai di Lazada dan melengkapkan pembayaran di 12 cawangan rakan jenama LazMall sekitar Lembah Klang.

Malah, rakan jenamanya menerima sehingga 13 kali lebih jumlah transaksi berbanding hujung minggu biasa.

“Cawangan realme di Sunway Pyramid dan Viewnet di Low Yat menyaksikan pembeli beratur panjang di kedai mereka sewaktu tempoh tawaran.

HealthLand di Sunway Pyramid menjual anggaran 300 jam pada jualan ini,” katanya.

Selain itu, bagi menampung jumlah permintaan yang meningkat pada musim cuti akhir tahun, Lazada eLogistics (LeL) menambah jumlah tenaga kerja sembilan kali ganda berbanding hari biasa.

Platform itu turut melanjutkan tempoh operasi gudangnya di Subang kepada 24 jam untuk enam hari.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 10:33am
d