bisnes

BPMB, Danajamin lulus bergabung

Oleh hmdigital

BANK Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan fasa pertama bagi cadangan penggabungan membabitkan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).

Kerajaan dalam Belanjawan 2020 mencadangkan BPMB, Danajamin, Export - Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) distruktur semula dan digabungkan untuk mengukuhkan ekosistem DFI.

Penggabungan berkenaan dijangka dapat membawa kepada sinergi yang lebih besar untuk mencapai hasil pembangunan yang akan memberi manfaat kepada semua pemegang kepentingan serta memenuhi keperluan ekonomi baharu.

BPMB dalam kenyataan berkata, penstrukturan semula itu akan dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama akan membabitkan penggabungan BPMB dengan Danajamin dan fasa kedua pula adalah menggabungkan EXIM Bank dan SME Bank ke dalam entiti yang digabungkan sebelumnya.

“Jawatankuasa Pemandu yang diterajui Kementerian Kewangan akan menyelia pelaksanaan pelan penyusunan semula supaya ia dapat berjalan dengan lancar.

“Jawatankuasa berkenaan akan mempunyai wakil dari pihak berkepentingan dari kementerian berkaitan seperti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 11:21am
d