bisnes

Komited bantu PKS

Oleh Sofyan Rizal Ishak

AMBANK Islamic Berhad (AmBank Islamic) komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dengan memberi fokus kepada pembiayaan dalam industri halal dan teknologi hijau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eqhwan Mokhzanee berkata, langkah itu adalah sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan dalam menyeru lebih ramai PKS meneroka sektor berpotensi dan mampu menjana ekonomi negara pada masa akan datang.

Menurutnya, bank itu bukan saja ingin memainkan peranan besar dalam merancakkan lagi sektor terbabit pada masa depan malah melihat sektor itu sebagai platform terbaharu meraih pendapatan lebih baik kepada mereka.

“Kami sudah memulakan langkah untuk mempromosikan kedua-dua sektor ini melalui penganjuran persidangan dikenali AmBank BizConference pada tahun ini bertujuan berkongsi pengetahuan bersama PKS mengenai potensi kedua-dua sektor ini.

“Untuk tahun depan, kami berhasrat untuk merancakkan pembabitan kami dalam kedua-dua sektor ini dengan perancangan pertama adalah untuk melancarkan program inovatif bagi menyokong sektor halal pada Januari nanti,” katanya.

Pada masa ini, PKS adalah segmen kedua terpenting bagi institusi perbankan itu di mana ia menyumbang kira-kira 20 peratus kepada pendapatan keseluruhan AmBank Islamic.

Beliau berkata, sebelum ini PKS hanya menyumbang 13 peratus kepada pendapatan AmBank Islamic namun, jumlah itu terus meningkat berikutan strategi bank itu yang mula fokus kepada segmen terbabit sejak tiga hingga empat tahun lalu.

“Selain fokus kepada sektor-sektor ini, kami juga turut menawarkan kemudahan pembiayaan kepada syarikat pemula melalui program SME Biz Start Up-i bagi membantu usahawan baharu ini untuk mengukuhkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Katanya, program yang dilancarkan April lalu itu menawarkan pembiayaan antara RM30,000 dan RM300,000 bagi PKS yang layak.

“Setakat ini, ia menerima sambutan baik daripada PKS dan kami sentiasa mempertimbangkan setiap permohonan daripada mereka namun ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi daripada aspek pengurusan risiko bagi setiap permohonan,” katanya.

Sementara itu, AmBank Islamic dijangka mampu mencapai prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020 dipacu tawaran produk lengkap, pelaksanaan strategi yang lebih fokus dan kemantapan struktur organisasinya.

Menurut Eqhwan, jangkaan itu juga dinilai berdasarkan prestasi positif AmBank Islamic bagi enam bulan pertama dalam aspek seperti pendapatan, keuntungan, peningkatan pembiayaan dan deposit.

“Kami kekal positif meskipun berdepan dengan cabaran berikutan situasi ekonomi semasa,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 11:48am
d