bisnes

Cukai digital: Apa anda perlu tahu

Oleh Nabil Basaruddin

APLIKASI mudah alih, permainan digital, buku digital (e-buku) dan filem adalah antara contoh kandungan digital yang akan dikenakan cukai perkhidmatan digital bermula 1 Januari depan pada kadar enam peratus.

Selain itu, contoh lain termasuklah perisian program, pemacu dan tapisan laman web serta perkhidmatan pengurusan data elektronik yang merangkumi website hosting, simpanan awan dan perkhidmatan pengiklanan dalam talian.

Berdasarkan Soalan Lazim Tentang Pengenaan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital yang Diimport yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, perkhidmatan digital adalah perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang diperoleh pengguna melalui Internet atau pelbagai platform.

Menurut lampiran soalan berkenaan, pembelian kod aktifan untuk permainan digital atau perisian secara dalam talian adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

Malah, pengimportan barang bercukai adalah tertakluk kepada cukai jualan import yang dikenakan pada kadar yang telah ditetapkan.

Pihak yang perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital diimport adalah pengguna di Malaysia.

Selain itu, sekiranya pengguna membeli pakaian dan barangan lain secara dalam talian, mereka tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan kerana ia hanya dikenakan ke atas perkhidmatan dan bukan ke atas barang berkenaan.

Sementara itu, untuk perkhidmatan bulanan, cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah berdasarkan kepada jumlah yang ditetapkan dalam invois menurut tempoh dan bentuk langganan yang dipilih.

Sekiranya bentuk bayaran adalah setiap bulan, cukai perkhidmatan digital akan dibayar berdasarkan yuran setiap bulan dan jika ia adalah bayaran untuk setahun sekali gus, cukai itu akan dikenakan berdasarkan fi setahun dalam invois.

Bagi pelancong luar negara yang akan bercuti di Malaysia dan membuat tempahan melalui platform digital, mereka hanya perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas penginapan hotel sekiranya hotel itu berdaftar di bawah cukai perkhidmatan dan bukan cukai perkhidmatan digital.

Sebaliknya, sebarang bayaran fi atau komisen oleh pihak hotel kepada pihak pengendali platform digital itu akan dikenakan cukai perkhidmatan digital.

Bagaimanapun, sekiranya platform terbabit mengenakan yuran tempahan, sebagai contoh RM2 kepada pelancong, cukai perkhidmatan digital akan dikenakan ke atas yuran tempahan itu.

Ketika ini, penyedia perkhidmatan asing seperti Netflix, Spotify, Google App Store dan lain-lain tidak mengenakan sebarang cukai dan secara langsung menjejaskan daya saing syarikat tempatan.

Langkah kerajaan ini adalah untuk mewujudkan pentas persaingan yang seimbang kepada syarikat tempatan.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 8:00am
d