bisnes

Unjur ekonomi mampan 4.8%

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KERAJAAN yakin ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan lebih kukuh dan mampan iaitu sebanyak 4.8 peratus pada tahun depan berikutan asas mikroekonomi negara kukuh seperti kepelbagaian struktur ekonomi dan eksport yang tinggi, pasaran buruh yang menyokong dan inflasi rendah serta stabil.

Ia juga turut membabitkan sektor kewangan yang kukuh dan mantap serta lebihan akaun semasa yang lebih sihat bagi pembayaran berimbang.

Unjuran itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu 4.4 peratus dan Bank Dunia (4.5 peratus) kerana kerajaan kekal komited melaksanakan keutamaan pembangunannya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM56 bilion bagi 5,466 projek pembangunan pada 2020 dalam usaha untuk menyokong momentum pertumbuhan dan mengukuhkan kapasiti ekonomi jangka panjang negara.

“Daripada jumlah ini, RM53.2 bilion diperuntukkan untuk 4,744 projek yang kini berjalan manakala baki RM2.8 bilion telah diketepikan untuk 722 projek baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang dekad yang akan datang, kerajaan akan memberi penekanan lebih besar ke atas penstrukturan semula ekonomi dengan membangunkan kawasan ekonomi baharu bagi memacu ekonomi ke hadapan dan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bergaji tinggi sejajar objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Ini memerlukan pembangunan sosioekonomi yang inklusif, mampan dan bermakna untuk menyediakan taraf hidup yang layak untuk semua rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-13 2026-2030.

“Kerajaan tetap waspada dan terus menumpukan pada pengukuhan daya tahan jangka pendek Malaysia dan memajukan pembaharuan struktur untuk meningkatkan pertumbuhan jangka sederhana.

“Oleh itu, potensi pertumbuhan negara akan dioptimumkan dengan mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan. Penekanan diberikan terhadap memperkasakan sektor perkilangan untuk menghasilkan lebih banyak produk berkualiti tinggi, pelbagai dan kompleks,” katanya.

Menurutnya, fokus akan diberikan untuk mengukuhkan sektor dengan potensi pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, peralatan perubatan, elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan serta bahan kimia dan produk kimia.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 10:43am
d