bisnes

Kekayaan Zuckerberg naik RM112.2 bilion

Oleh Agensi

NILAI kekayaan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg meningkat $27.3 bilion (RM112.2 bilion) menjadikan jumlah kekayaannya mencecah $79.4 bilion (RM326.2 bilion) tahun ini walaupun berdepan kritikan beliau memonopoli media sosial.

Walaupun berdepan tahun yang mencabar, Zuckerberg yang kini berusia 35 tahun berjaya menduduki lima tangga teratas untuk senarai 500 individu terkaya dunia yang dikeluarkan Forbes.

Daily Mail melaporkan, Oktober lalu, Zuckerberg memberi keterangan di hadapan House Financial Services Committee di Washington mengenai kebimbangan mengenai hak miliknya terhadap WhatsApp, Instagram dan perkhidmatan Facebook Messenger.

Penampilannya di bangunan Rayburn House tidak menghentikan syarikat itu mengakhiri suku keempat dengan pengguna bulanan mencapai 2.45 bilion, meningkat lapan peratus dari awal tahun ini.

Malah, sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, 2.8 bilion individu menggunakan satu daripada jenama yang dimiliki Zuckerberg.

Sementara itu, individu yang disenaraikan sebagai antara terkaya di dunia terus meraih lebih banyak kekayaan dengan peningkatan $1.2 trilion (RM4.93 trilion).

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, 500 individu terkaya dunia ini memiliki kekayaan terkumpul mencecah $5.9 trilion (RM24.24 trilion).

Pengasas Amazon, Jeff Bezos kekal sebagai individu terkaya dunia, diikuti Bill Gates, Bernard Arnault dan Warren Buffet.

Berdasarkan indeks sama yang dikeluarkan, ada 173 bilionair di seluruh dunia dengan individu terbaru yang berada dalam senarai ialah Kylie Jenner, bilionair termuda tahun ini yang meraih keuntungan hasil penjualan produk kecantikan.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 7:16am
d