bisnes

Sektor PKS diunjur kukuh tahun depan

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diunjur mencatat pertumbuhan kukuh pada 2020 disokong insentif yang relevan dan langkah dasar utama termasuk peningkatan pendigitalan dan kesalinghubungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd (AmBank Group), Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, PKS berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan bidang yang pesat seperti keselamatan siber, integrasi rantaian bekalan, teknologi inovatif dan model perniagaan disruptif.

“Berdasarkan kepada petunjuk ini, saya yakin Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan stabil walaupun dalam persekitaran mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, industri perbankan akan terus menghadapi cabaran namun pihaknya tetap positif dengan sektor itu dan berharap dapat melihat peningkatan dasar yang lebih jelas dan baik.

“Pada masa sama, portfolio kami juga sangat fokus kepada pertumbuhan pinjaman dan prospek yang cerah untuk PKS,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pihaknya yakin dengan prospek di Malaysia pada 2020 meskipun faktor luaran dan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China terus dilihat memberi impak kepada ekonomi global.

Menurutnya, industri berkaitan pengguna dan pelancongan kekal sebagai bidang pertumbuhan berpotensi, sebagai tambahan kepada potensi pelaksanaan projek pembinaan dan infrastruktur yang boleh memberi kesan limpahan positif kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Belanjawan 2020 juga dijangka menjadi pemangkin berikutan fokus kukuhnya terhadap perbelanjaan pembangunan untuk menyokong pertumbuhan dan meningkatkan sentimen,” katanya.

Beliau berkata, sebagai destinasi pelaburan menarik, Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing (FDI).

“Sebagai bukti, FDI diluluskan meningkat sebanyak 97 peratus kepada RM49.5 bilion bagi separuh pertama 2019 berbanding RM25.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu di mana pencapaian itu dilihat meyakinkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 7:20am
d