bisnes

RFID di Plaza Tol Gombak dan Bentong

Oleh Bisnes HM

BERMULA esok, pengguna yang melalui Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong boleh membuat pembayaran tol menggunakan teknologi RFID.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di kedua-dua plaza tol itu bersedia dengan sistem kutipan baharu.

“Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod RFID di kedua-dua plaza tol adalah selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti di lebuh raya.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sebagai permulaan, mod pembayaran terbaharu ini akan ditawarkan hanya kepada kenderaan kelas 1 sebelum ia dijangka diperluaskan kepada kenderaan kategori lain sebelum akhir tahun 2020.

Kutipan tol menerusi RFID di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), iaitu satu lagi lebuh raya kendalian ANIH Berhad yang menggunakan kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2020.

Sistem tol terbuka bermaksud bayaran dibuat di plaza tol yang dilalui pengguna, manakala sistem tol tertutup ialah sistem tol masuk dan keluar dengan bayaran dibuat mengikut jarak laluan dan dibayar semasa keluar saja.

RFID akan menjadi kaedah baharu pembayaran tol secara elektronik di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong di samping mod pembayaran sedia ada iaitu menerusi kad Touch ‘n Go (TNG) dan SmartTAG.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 3:33pm
d