bisnes

Supahands mahu lantik 14,000 SupaAgents pada 2020

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Supahands, syarikat tempatan yang menyediakan set data latihan bagi pembelajaran mesin atau kecerdasan buatan (AI) berhasrat meningkatkan jumlah tenaga kerjanya dikenali SupaAgents kepada 14,000 individu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Supahands, Mark Koh berkata, pihaknya kini memiliki 7,000 SupaAgent di Malaysia, Filipina dan Indonesia yang berperanan bekerja dengan jumlah data besar bagi membantu syarikat teknologi meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti kerja mereka.

“Kami menyediakan perniagaan dengan platform penyelesaian berskala bagi membolehkan syarikat teknologi berlatih dengan pembelajaran mesin atau data AI mereka secara lebih tepat, pantas dan berskala.

“Langkah meningkatkan SupaAgents ini membolehkan kami meluaskan bilangan pelanggan yang pada masa ini berada di Australia, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia,” katanya pada Bisnes Metro.

Supahands adalah firma teknologi tempatan yang ditubuhkan pada 2014 bertujuan menjadi pemudah AI bagi perniagaan di seluruh dunia dengan memiliki kepakaran dalam data latihan pembelajaran mesin/AI melalui penjelasan imej, penandaan data dan pengkategorian serta transkrip data.

Beliau berkata, syarikat bercadang mengembangkan pasukan di Malaysia pada tahun depan terutama dalam kejuruteraan membabitkan kerjaya seperti saintis atau jurutera mesin melalui pengambilan tenaga kerja mahir tempatan dan luar negara.

“Kami berhasrat membina lebih banyak kerjasama di peringkat serantau bagi memastikan kedudukan kami kukuh dan merealisasikan matlamat untuk menjadi pemain utama dalam pasaran serantau untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Supahands adalah syarikat tempatan yang menerima manfaat daripada Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) iaitu kerjasama antara Axiata, MAVCAP dan Johor Corp.

Melalui dana itu, ketiga-tiga pihak melakukan pelaburan dalam Supahands bagi tujuan membantu perkembangan perniagaan syarikat terbabit.

Koh berkata, Supahands optimis mencatatkan pertumbuhan perniagaan melebihi 100 peratus tahun ini.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:15am
d