bisnes

Stesen janaelektrik di Paka ditamatkan operasi

Oleh Bisnes HM

STESEN janaelektrik kitar padu yang pertama di Asia Tenggara, Stesen Janaelektrik Sultan Ismail (SJSI) di Paka, Terengganu, telah menamatkan operasinya secara rasmi semalam selepas 33 tahun menyalur bekalan ke grid nasional.

Penamatan operasi itu tidak dapat dielakkan memandangkan Malaysia dalam proses untuk menggantikan stesen janaelektrik lama yang tidak efisien dengan yang lebih canggih dan mesra alam, sejajar dengan amalan industri bekalan elektrik global masa kini.

Ketua Pegawai Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Roslan Abdul Rahman berkata, stesen janaelektrik berkapasiti 1,400 megawatt (MW) itu siap dibina pada 1987 dan dibuka secara rasmi pada 1988 oleh Sultan Terengganu ketika itu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

“Ketika itu, SJSI menjadi stesen janaelektrik kitar padu yang terbesar di dunia. Kos pembinaannya adalah RM1.5 bilion (RM2.4 bilion pada kadar semasa).

“Ia meninggalkan legasi yang besar dalam sejarah TNB dan menjadi stesen janaelektrik kitar padu pertama di Asia Tenggara serta yang terbesar dibina TNB,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, berikutan penamatan operasi itu, 250 orang warga kerja SJSI telah dihantar secara berperingkat ke stesen-stesen baharu TNB seperti Jimah East Power Sdn Bhd di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Southern Power Generation di Pasir Gudang, Johor.

“Menjelang hujung perkhidmatannya, hanya unit 4 yang masih beroperasi. Unit 1, 2 dan 3 telah ditamatkan operasi sejak 2017,” katanya.

Selain SJSI, stesen janaelektrik milik TNB yang turut menggunakan teknologi kitar padu ialah Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson dengan dua blok berkapasiti 750MW dan Stesen Janaelektrik Prai di Seberang Perai, berkapasiti 1,071MW.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 12:23pm
d