bisnes

Tesco tawar kempen harga berpatutan

Oleh Bisnes HM

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd menganjurkan kempen Semua ONG Mali 2020 bersempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini dengan menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, kempen yang berlangsung dari 19 Disember 2019 hingga 29 Januari ini bukan saja untuk komuniti Cina yang merayakannya malah turut membabitkan semangat perayaan yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, walaupun rakyat Malaysia memiliki kepercayaan dan budaya berbeza namun, mereka bersatu untuk merayakan perayaan masing-masing secara harmoni.

“Sebagai peruncit utama di Malaysia, fokus kami adalah untuk membantu pelanggan dalam kos sara hidup mereka di mana sejak empat tahun lalu, kami melancarkan strategi harga jangka panjang dan mengekalkan harga berpatutan tanpa menjejaskan kualiti, sekali gus membantu mereka menjimatkan ringgit masing-masing.

“Kami mahu membolehkan pelanggan menikmati adat istiadat tradisional Tahun Baru Cina, perhimpunan keluarga dan sudah semestinya, makanan yang lazat,” katanya.

Pelbagai hidangan makanan laut ditawarkan di Tesco seperti udang kara Kanada beku pada harga RM47.88 seekor, udang bersaiz sederhana (RM24.99 sekilogram), Dragon Tiger Grouper beku (RM62.88 seekor) dan trout coral beku (RM66.88 seekor).

Selain itu, Tesco juga menawarkan udang bersaiz kecil (RM58.88 sekilogram) dan udang harimau (RM68.88 sekilogram) di mana semuanya adalah dari Australia untuk Tahun Baru Cina kali ini.

Sementara itu, Tesco dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen (Kechara) berhasrat menarik bantuan lebih ramai pelanggan dalam menyokong masyarakat yang kurang bernasib baik melalui pembelian bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharunya iaitu Gift of Prosperity (GOP).

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 6:01am
d