bisnes

Pelanggan RHB daftar DuitNow

Oleh Nabil Basaruddin

RHB Banking Group (RHB) terus memperkukuhkan perkhidmatan segmen digitalnya dengan menawarkan pendaftaran DuitNow kepada pelanggan di seluruh negara.

DuitNow adalah servis perbankan dalam talian yang membolehkan pelanggan memindah dan menerima wang antara bank menggunakan nombor telefon atau kad pengenalan tanpa nombor akaun bank.

Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB, Rakesh Kaul berkata, RHB adalah bank pertama yang menawarkan perkhidmatan sedemikian bagi pendaftaran servis DuitNow.

Beliau berkata, masih ramai tidak menyedari kaedah pemindahan wang yang mudah ini hanya dengan mendaftar sekali sahaja secara dalam talian kepada mereka yang sedia memiliki perbankan Internet.

“Kami sedia untuk mempromosi dan membantu pelaksanaan servis pembayaran tanpa tunai kepada capaian pengguna yang lebih luas khususnya mereka yang kurang mendapat perhatian.

“Dengan membantu pelanggan kami mengaktifkan DuitNow di semua cawangan RHB Bank serta menjadikan transaksi perbankan lebih mudah dan menggalakkan keterangkuman kewangan,” katanya.

Rakesh berkata, pelanggan sering kali enggan mendedahkan nombor akaun bank mereka atas alasan keselamatan.

Katanya, dengan DuitNow, semua yang diperlukan adalah nombor telefon mudah alih atau kad pengenalan dan jika mereka adalah perniagaan, hanya perlu pendaftaran perniagaan atau nombor syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser berkata, RHB Bank ketika ini mempunyai setengah juta pendaftaran pengguna DuitNow dengan transaksi berjumlah RM135 juta direkodkan antara Januari dan November 2019.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 9:00am
d