bisnes

KWSP lantik pengurusan kanan baharu

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan pengurusan kanan baharunya berikutan perkhidmatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif yang tamat pada 31 Disember lalu.

KWSP melantik Rohaya Mohammad Yusof sebagai Ketua Pegawai Pelaburan dan Nurhisham Hussein sebagai Ketua Pegawai Strategi yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pelantikan Rohaya dan Nurhisham membuktikan KWSP meletakkan keutamaan dalam bakat dan pelan penggantian kepemimpinan yang mantap.

“Rohaya dan Nurhisham adalah lantikan dalaman disebabkan mereka sudah lama berkhidmat di KWSP dengan pelbagai kapasiti.

“Kedua-duanya mempunyai pengalaman dalam pentadbiran syarikat. Seperti yang diketahui, Rohaya adalah individu yang sangat dihormati dalam industri kewangan dan beliau berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan elemen pelbagai yang tepat pada masanya kepada pasukan pengurusan kanan kami.

“Manakala, Nurhisham pula antara ahli ekonomi terkemuka di negara ini yang mempunyai pengalaman dalam membangunkan strategi keselamatan sosial dengan impak mendalam terhadap negara kita,” katanya menerusi kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pasukan baharu ini, KWSP dapat mencapai sasaran dan matlamat yang ditetapkan.

Menurutnya, KWSP akan terus memastikan ia kekal kukuh dalam melaksanakan peranannya sebagai dana yang memberi tumpuan dalam menjadikan pelaburan ke arah mencapai pulangan jangka panjang kepada pencarum.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 7:14pm
d