bisnes

Bank Rakyat Bank Lestari [METROTV]

Oleh Nabil Basaruddin

BANK Rakyat, bank koperasi Islam terbesar di Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam memacu pembangunan ekonomi negara menerusi penjenamaannya sebagai Bank Lestari.

Inisiatif terbaharu itu antara matlamat di bawah pelan hala tuju Bank Rakyat 2025 (BR25) untuk terus kekal relevan serta mencapai kemajuan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso berkata, sebagai Bank Lestari, Bank Rakyat membawakan visi baharu iaitu Untuk Komuniti, Negara dan Planet yang memperlihatkan komitmen bank untuk berkhidmat kepada komuniti, membantu kemajuan bangsa dan melindungi planet.

Beliau berkata, misi baharu bagi bank itu pula untuk menjadi pemangkin global melalui rangkaian perkhidmatan kewangan serta berlandaskan nilai Islam, keharmonian masyarakat dan kelestarian.

“Sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dan bank Islam ke-10 terbesar di dunia, Bank Rakyat sentiasa bersedia bagi menghadapi landskap dunia perbankan yang cepat berubah.

“Malah, pelbagai cabaran dilalui bank ini sejak kewujudannya enam dekad lalu dan kini Bank Rakyat terus mengorak langkah dengan lebih progresif dalam membantu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya pada majlis perasmian perjalanan baharu bank itu di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.

Noripah berkata, sejak Januari tahun lalu, Bank Rakyat menuju ke arah transformasi bermakna dalam segenap aspek perbankan.

“Pada Ogos 2019, kami melancarkan BR25 yang akan meningkatkan lagi bank ini kepada pertumbuhan berikutnya dengan mengambil kira semua cabaran dalam dan luar negara.

“BR25 adalah pelan jangka panjang yang dirangka sebagai rangka tindakan untuk berdepan dengan era perbankan baharu pada masa depan,” katanya.

Selari dengan penjenamaan sebagai Bank Lestari, Noripah berkata, Bank Rakyat mengenal pasti enam Pelan Tindakan iaitu pendigitalan, pengalaman pelanggan, modal insan, pusat kewujudan nilai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kemampanan dan kepimpinan Shariah.

“Semua pelan tindakan ini akan menjadi kunci utama bagi kami dalam merealisasikan aspirasi BR25 oleh bank ini.

“Kami berharap ia membantu memahami pelanggan millenial, membina pasukan berprestasi tinggi serta menyasarkan kepemimpinan Bank Rakyat di ruang kewangan Islam global,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 6:02am
d