bisnes

Komited tingkat jumlah stesen minyak

Oleh Sofyan Rizal Ishak

SHELL Malaysia komited meningkatkan jumlah stesen minyaknya pada masa depan bagi terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, pada masa ini syarikat itu memiliki lebih 950 stesen minyak di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada lebih 10 juta pelanggan setiap minggu.

“Kami akan meningkatkan jumlah stesen daripada 950 kepada 1,000 pada masa depan bagi membolehkan jenama ini terus diakses di seluruh negara. Kami tidak menetapkan tempoh untuk direalisasikan kerana ia turut bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya selepas majlis pengumuman pemenang hadiah utama Nak Ekstra RM20,000? di sini, semalam.

Peraduan berkenaan menyaksikan Mohd Raffi Ismail dari Selangor, Muhd Shukri Muhd Deris (Pahang) dan Azniza Abu Bakar (Negeri Sembilan) masing-masing memenangi wang tunai bernilai RM200,000.

Beliau berkata, Shell Malaysia juga komited untuk terus melabur perbelanjaan modalnya tahun ini bagi meningkatkan lagi kemudahan ditawarkan di stesen minyak Shell seluruh negara.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 6:01am
d