bisnes

Prestasi Bank Islam diiktiraf

Oleh Bisnes HM

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), peneraju perbankan Islam di Malaysia meraikan tahun baharu dengan memenangi Anugerah AlMansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam di Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020.

Anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Bank Islam dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia seiring dengan persekitaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya gembira atas penganugerahan berkenaan.

“Memenangi Anugerah Kecemerlangan AlMansor menandakan permulaan yang baik bagi Bank Islam untuk tahun 2020 dan ia menjadi pendorong semangat kami dalam mempertingkat usaha demi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Sejak ditubuhkan pada 1983 dan sebagai institusi perbankan Islam yang pertama di Malaysia, Bank Islam terus berkembang kukuh.

“Mendepani cabaran dan terus meneroka potensi pasaran, kami sangat komited untuk berinovasi serta menawarkan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang relevan dan terkini serta memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzudin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah pada Malam Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020, baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN), anugerah ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan serta pertubuhan sosial.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 6:00am
d