bisnes

Kolaborasi bangun Program TechCity

Oleh BERNAMA

Maxis dan Huawei Technologies Malaysia menjalin kerjasama meneroka dan bekerjasama dalam Program TechCity yang antara lain membabitkan penyediaan penyelesaian dalam kapasiti 5G.

Huawei dalam kenyataan berkata, kedua-dua syarikat akan bekerjasama bagi menyediakan penyelesaian dalam kapasiti 4G dan 5G bagi melahirkan pengalaman menarik lebih khusus, inovasi reka bentuk rangkaian 5G, pelaksanaan serta kecekapan operasi.

Mereka akan turut mewujudkan makmal inovasi 5G bagi memajukan serta mengemukakan kes baharu penggunaan 5G untuk dikomersialkan oleh pelbagai industri apabila spektrum 5G itu ditawarkan.

“TechCity adalah satu inisiatif kerjasama dengan pengendali mudah alih di serata dunia bagi mewujudkan satu rangkaian sasaran 5G yang cemerlang, pelaksanaan perkhidmatan dan model perniagaan baharu.

“Program ini akan turut merangkumi penjenamaan bersama dan inovasi kejayaan penggunaan di seluruh dunia. Malah, menerusi kerjasama ini, Maxis turut menyertai pengendali utama global yang memiliki kerjasama kemudahan penyelidikan dan pembangunan yang lebih hampir selain akses terhadap pembangunan kes penggunaan 5G,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) diadakan di ibu pejabat Huawei di Shenzhen, baru-baru ini.

Sebelum ini, Huawei yang juga syarikat gergasi teknologi China berpejabat di Shenzen itu melancarkan Program TechCity di bandar-bandar seperti London, Seoul dan Tokyo.

Dalam pada itu, Pengerusi Huawei, Guo Ping berkata, menerusi usaha pelaksanaan inisiatif TechCity secara bersama, kedua-dua syarikat itu dapat mewujudkan penyelesaian 5G mengikut keperluan tempatan yang boleh digunakan di pasaran global pada masa depan.

“Ini akan membantu Huawei dari segi transformasinya daripada pelaksana teknologi kepada peneraju inovasi dan pembangunan ekosistem 5G,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut menyifatkan kerjasama itu akan membolehkan syarikat ke peringkat seterusnya dengan meneroka teknologi baharu bagi memberi pengalaman menarik kepada pengguna selain aspek kecekapan rangkaian yang lebih baik.

“Maxis sentiasa di hadapan dari segi teknologi baru dan kami turut teruja dengan pembabitan dalam program ini yang mampu membuka lebih banyak peluang bagi manfaat pelanggan di masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 3:42pm
d