bisnes

Makan angin maya masa nyata

Oleh Bisnes HM

DIGI Telecommunications Sdn Bhd bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Panorama Langkawi untuk memulakan pengalaman pelancongan maya masa nyata pertama Malaysia, yang dikuasakan oleh 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK).

Satu gondola kereta kabel dan zon pengalaman realiti maya (VR) dibina di LGK akan membolehkan pengunjung menikmati pemandangan 360 darjah Gunung Machinchang yang distrim langsung dari jarak 20 kilometer menerusi kamera yang dipasang di stesen tengah Langkawi SkyCab.

Digi dalam satu kenyataan berkata, pengalaman pelancongan maya 5G itu yang dibuka kepada orang ramai sehingga Mac tahun ini dijangka menyediakan pengalaman persekitaran ilusi dan perjalanan bersepadu bagi pelancong dan seterusnya kepada industri pelancongan di negara ini.

Demonstrasi ini adalah sebahagian daripada kes kegunaan Digi dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memudahkan, membangun dan menggalakkan kes kegunaan 5G dalam persekitaran langsung yang terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi Albern Murty berkata, perintis pelancongan maya 5G Langkawi itu adalah sejajar dengan pendekatan kerjasama Digi dalam membangunkan ekosistem 5G bersama rakan kongsinya serta selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pengendali lapangan terbang itu berhasrat untuk meningkatkan pengalaman menyeronokkan pengunjung di lapangan terbang.

Beliau berkata, ia bakal menyediakan suasana maya daya tarikan pelancongan tempatan di lapangan terbang itu sendiri sebagai sebahagian daripada inisiatif Experience Malaysia untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata tahun lalu, LGK menerima pengiktirafan Highly Commended (Pujian Tertinggi) bagi kategori bawah 4 juta penumpang pada anugerah berprestij Anugerah Routes Asia 2019 Marketing.

Anugerah itu adalah bukti kepada usaha yang diambil pengendali lapangan terbang itu untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kedudukan LGK dalam peta pelancongan serta berfungsi sebagai pemangkin besar kepada pembangunan ekonomi Pulau Langkawi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Ir Abu Hashim Abdul Rahman berkata, Langkawi SkyCab adalah mercu tanda ikonik pulau terbabit yang terletak di kawasan Langkawi Unesco Global Geopark.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 6:05am
d