bisnes

Keluar 40 lesen e-dompet

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PELAKSANAAN dan penerimaan e-dompet di Malaysia dilihat terus berkembang tahun ini selepas menyaksikan permulaan yang baik sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel Ventures Sdn Bhd (Setel Ventures), Iskandar Ezzahuddin berkata, pihaknya percaya industri e-dompet di Malaysia boleh mencapai pertumbuhan positif walaupun terdapat pelbagai jenama dan pengendali yang berbeza.

“Sejak e-dompet diperkenalkan, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah mengeluarkan lebih 40 lesen e-dompet.

“Namun, terdapat kebimbangan berlakunya ‘lebihan tawaran’ atau penggabungan yang ‘tidak boleh dielak’ akibat terlalu banyak pengendali e-dompet.

“Keadaan ini mungkin timbul selepas menyaksikan negara seperti China di mana hanya beberapa jenama besar yang menguasai pasaran. Namun, kita juga perlu melihat pasaran e-dompet seperti di Singapura yang terus berkembang walaupun memiliki lebih 40 perkhidmatan e-dompet yang beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setiap jenama perlu menawarkan kepelbagaian dan memasukkan elemen unik bagi menyuntik kekuatan perkhidmatan mereka.

“Di Setel, kami cuba merevolusikan semua perkara berkaitan segmen runcit petrol. Kami mengubah cara pengguna mengisi petrol - daripada beratur di kaunter kepada hanya menggunakan aplikasi untuk mengisi petrol pada kenderaan mereka.

“Kami juga akan memberi tumpuan kepada meluaskan pengalaman mudah alih yang lebih lancar, bermula dengan stesen minyak dan servis.

“Kami sedang bekerja keras untuk menawarkan perkhidmatan ke seluruh negara pada tahun ini dengan lebih banyak peluang untuk diteroka dalam segmen runcit, komersial dan peniaga luar,” katanya.

Setel Ventures adalah pengendali Setel iaitu aplikasi penyelesaian e-pembayaran pembelian bahan api secara langsung melalui telefon pintar yang pertama di Malaysia.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 7:30am
d