bisnes

Myvi, Bezza terus pacu jualan Perodua

Oleh Lizam Ridzuan

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan menjual 240,000 unit kenderaaan pada 2020, dipacu oleh jualan Myvi generasi ketiga dan Bezza baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya juga tidak menafikan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya satu model baharu tahun ini.

"Dalam persekitaran permintaan yang kukuh, kami menjangkakan prestasi jualan tahun ini akan setanding dengan tahun lalu. Kami optimis namun, berhati-hati bahawa angka itu boleh dicapai walaupun pasaran yang lebih kompetitif tahun ini," katanya pada Semakan Tahunan Perodua 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Bagi jumlah jualan 2020, Zainal berkata, model Myvi dan Bezza dijangka menerajui permintaan masing-masing sebanyak 83,000 dan 54,000 unit.

Setakat ini, lebih 2,000 unit Perodua Bezza wajah baharu, yang dilancarkan dua minggu lalu, telah diserahkan kepada pemilik masing-masing daripada 15,000 pesanan, termasuk 8,000 pesanan yang ditukar daripada model sebelumnya.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 4:30pm
d