bisnes

Prestasi meningkat

Oleh Lizam Ridzuan

PROTON Holdings Berhad menyasarkan jualan sebanyak 132,000 unit kenderaan tahun ini selepas menyaksikan pencapaian yang memberangsangkan pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, selain mencatatkan jualan sebanyak 100,821 unit dengan peningkatan 55.7 peratus pada 2018, ia turut menambah perkongsian pasaran keseluruhan sebanyak 16.7 peratus pada tahun lalu.

“Angka itu mengangkat Proton sebagai jenama nombor dua paling banyak jualannya di negara ini adalah yang pertama selepas empat tahun.

“Namun, untuk kekal bersaing kami juga banyak melakukan transformasi seperti melancarkan empat model baharu dalam tempoh sesingkat lapan bulan tahun lalu yang mana ia adalah pertama kali dilakukan dan memberi impak kepada peningkatan ini,” katanya pada majlis makan tengah hari Proton sempena Sambutan Tahun Baharu Cina, di sini.

Katanya, antara pencapaian lain ialah Proton juga kekal pendahulu dalam segmen-C kenderaan utiliti sukan (SUV) sejak Proton X70 dilancarkan sehingga ke hari terakhir 2019.

Bagi meneruskan momentum terbaik ini, Proton juga bakal memperkenalkan model X70 edisi 2020 dengan beberapa ciri baharu dan model serba baharu juga akan dilancarkan pada tahun ini.

“Selain model terkini kami juga merancang untuk meningkatkan jumlah eksport ke pasaran serantau dan meneroka pasaran baharu untuk Proton.

“Kami juga menyasarkan untuk mencapai 150 cawangan pusat servis 3S dan 4S berbanding 120 cawangan ketika ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 6:01am
d