bisnes

Peruntuk dana STEP RM21j

Oleh Lizam Ridzuan

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) menerusi Program Simpanan Amanah Pendidikan (STEP) memperuntukkan RM21 juta bagi tempoh lima tahun akan datang untuk pembangunan modal insan.

Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso berkata, sejak 12 tahun ditubuhkan, YBR sudah menyumbang sebanyak RM234 juta untuk menyediakan peluang pendidikan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia.

Katanya, STEP adalah untuk membantu membiayai pendidikan golongan yang memerlukan dan membolehkan rakyat di negara ini terus belajar dan berkembang maju.

“Antara sebab STEP ini mendapat sokongan meluas adalah kerana inisiatif ini mewujudkan aliran dana yang mampan dan berterusan untuk disalurkan kepada pelajar kurang bernasib baik.

“Selain itu, dana yang diperuntukkan ini juga bagi memajukan penyelidikan dan pembangunan pendidikan ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan sosial yang positif serta menempatkan pengumpulan dana khusus bagi pembangunan pendidikan,” katanya di majlis perasmian STEP di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 7:30am
d