bisnes

RM5.4b beli komponen

Oleh HM Bisnes

PERSATUAN Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) menyifatkan prestasi cemerlang direkodkan Perodua tahun lalu sebagai berita gembira untuk industri memandangkan model dihasilkan menggunakan kandungan tempatan.

Presiden P2SA, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian Perodua dan mengesahkan komitmen berterusan kepada pengeluar kenderaan berkenaan.

“Jualan yang memberangsangkan ini menyumbang kepada ekosistem automotif Malaysia secara ketara kerana semua model Perodua mempunyai lebih 90 peratus kandungan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, tahun lalu, Perodua membelanjakan RM5.4 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan dan jumlahnya dijangka meningkat tahun ini berikutan peningkatan pengeluaran dengan lonjakan 11 peratus kepada RM6 bilion tahun ini.

“Kami berterima kasih kepada Perodua atas sokongan dan komitmen mereka selama ini. Kami juga komited kepada Perodua dan terus meningkatkan kualiti, kos serta penghantaran ahli kami demi pelanggan dihargai, demi Perodua dan demi Malaysia sebagai negara progresif,” katanya.

Sementara itu, Presiden PDA, Khairul Nizam Ayob berkata, rekod jualan Perodua tahun lalu dianggap luar biasa memandangkan ketidaktentuan pasaran serta persaingan sengit.

“PDA akan berusaha untuk mengatasi sasaran 240,000 unit yang ditetapkan Perodua untuk tahun ini dan tetap komited kepada Kepuasan Pelanggan dalam semua aspek,” katanya.

Kelmarin, Perodua mengumumkan jualan 240,341 kenderaan tahun lalu, menguasai hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia yang dianggarkan 604,775 unit.

Angka jualan tahun lalu Perodua mewakili peningkatan 13,098 unit berbanding 2018, dan juga jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 7:15am
d