bisnes

Setel sasar 1,000 stesen

Oleh Rosyahaida Abdullah

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menyasar aplikasi pembayaran elektronik bagi pembelian bahan api miliknya, Setel boleh digunakan di semua lebih 1,000 stesen Petronas di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya sudah bersedia untuk memastikan rangkaian aplikasi itu tersedia sekurang-kurangnya di semua negeri pada pertengahan tahun ini namun tidak meliputi seluruh kawasan.

Ini kerana katanya, sesetengah stesen di kawasan luar bandar khususnya, memerlukan masa lebih lama bagi tujuan pelaksanaan antaranya disebabkan kekangan keperluan logistik.

“Setakat ini, Setel tersedia di lebih 200 stesen Petronas sekitar Lembah Klang dan kami (Setel) bersedia bergerak ke seluruh negara dalam tahun ini.

“Cuma untuk kawasan luar bandar, ia memakan masa dan kami sendiri sentiasa memastikan permintaan di kawasan terbabit dipenuhi justeru stesen Petronas juga beroperasi di kebanyakan kawasan luar bandar.

“Apapun kami tetap fokus dengan sasaran ini demi memastikan semua pelanggan Petronas menikmati pengalaman jauh lebih baik menerusi penggunaan Setel dalam pembayaran untuk pembelian bahan api mereka di stesen Petronas,” katanya selepas merasmikan hari pertama kempen Petronas Coffee Break sempena Tahun Baharu Cina 2020 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Mohd Nasri Ishak dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nazatul Ruhaiza Abdul Wahab.

Azrul berkata, pihaknya teruja untuk melihat peningkatan sekurang-kurangnya sekali ganda bagi jumlah muat turun Setel apabila aplikasi itu tersedia di lebih banyak stesen Petronas selepas ini.

“Jumlah muat turun Setel ketika ini melebihi setengah juta dan kita harap ia meningkat berganda apabila rangkaiannya lebih luas nanti,” katanya.

Setel yang diperkenalkan pada 2018 adalah aplikasi mudah alih pembayaran elektronik pertama di Asia Tenggara membolehkan pengguna membuat pembelian bahan api dari kenderaan mereka sendiri.

Menerusi aplikasi itu, pengguna tidak perlu turun dari kenderaan untuk pembelian bahan api sebaik tiba di stesen Petronas sebaliknya hanya melakukan pembayaran menggunakan aplikasi terbabit yang berpaut terus dengan pam minyak di stesen terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Azrul berkata, pihaknya merancang membuka sekitar 10 stesen Petronas lagi tahun ini dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai radius terlalu jauh dari lokasi stesen Petronas terdekat.

“Tahun lalu, kita buka kurang daripada 10 stesen, tahun ini kita sasarkan angka lebih kurang sama,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 7:30am
d