bisnes

Jimat RM1.1 bilion hasil penstrukturan Plus

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk menstruktur semula Plus Malaysia Berhad (Plus) bukan saja menyaksikan pengguna bakal menikmati penurunan kadar tol 18 peratus, malah semua pihak terbabit mendapat jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung untuk tahun 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan penjimatan RM500 juta daripada diskaun 18 peratus dan penjimatan RM600 juta daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

Katanya, bayaran pampasan RM600 juta itu boleh disalurkan kepada projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara dan tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi saja.

Lim berkata, kelmarin Jemaah Menteri mengesahkan keputusan kerajaan menstruktur semula Plus berdasarkan cadangan dikemukakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jemaah Menteri mengarahkan supaya satu mesyuarat tergempar diadakan antara semua pemegang taruh pada hari sama selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk memastikan keputusan kerajaan mengenai penstrukturan semula Plus dapat dilaksanakan secara lancar dan baik mengikut garisan masa ditetapkan,” katanya.

Menurut Lim, mesyuarat pelaksanaan dipengerusikan beliau turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias serta pegawai dari Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Khazanah dan KWSP turut hadir pada mesyuarat itu.

Katanya, mesyuarat itu mengesahkan tarikh pelaksanaan penurunan kadar tol iaitu bermula 1 Februari ini seperti diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Diskaun kadar tol 18 peratus diberi kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 7:35am
d