bisnes

Projek LSS hasil 110,000 MWh tenaga

PROJEK solar berskala besar (LSS) 50 megawatt Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Sepang melalui tahun pertama pengoperasiannya apabila menghasilkan lebih 110,000 megawatt jam (MWh) tenaga dan mengekalkan ketersediaan loji hampir sempurna 99 peratus.

Pengarah Urusan TNB Renewables Sdn Bhd (TRe), Ir Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, bagi tahun pertama operasi, loji janakuasa solar (SPP) itu melepasi enam peratus tenaga maksimum tahunan yang diisytiharkan kepada pihak luar.

Terletak di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, SPP dibangunkan dan dimiliki TNB Sepang Solar Sdn Bhd (TSS), anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).

TRe ialah cabang pelaburan TNB untuk projek dan aset tenaga boleh baharu.

Katanya, loji itu berhasil mengelakkan pelepasan 76,000 tan setara CO2, yang juga sumbangan penting dalam menangani perubahan iklim.

“Ini bermakna ia bersamaan penggantian bahan api bagi 36,000 kereta di jalan Malaysia,” katanya.

Sebagai loji janakuasa suria fotovoltan (PV) terbesar di Malaysia dan terletak berhampiran Lembah Klang, SPP juga menarik kunjungan teknikal daripada pelbagai pihak.

SPP menerima 30 kunjungan pelbagai kementerian, agensi, pengawal selia, komuniti kewangan, korporat, institusi pembelajaran dan masyarakat tempatan serta luar negara.

TNB kini membangunkan satu lagi LSS, loji kuasa solar 30 MW di Bukit Selambau, Sungai Petani, yang dijadualkan siap pada Disember 2020.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 8:01am
d