bisnes

Rosman CEO baharu Bank Rakyat

Oleh Bisnes HM

KEMENTERIAN Pembangunan Ushawan dan Koperasi mengumumkan pelantikan Datuk Rosman Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, berkuat kuasa 1 Februari 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pelantikan itu telah disahkan dan melalui proses penilaian ‘tepat dan sesuai’ oleh Bank Negara Malaysia.

“Rosman telah membuktikan komitmen cemerlangnya yang konsisten dalam mengetuai pelaksanaan Bank Rakyat 2025 (BR25) dan inisiatif bagi memperkasa sistem perbankan teras baharu Bank Rakyat yang dijadualkan beroperasi pada Jun 2020.

“Selain itu, Rosman juga mengetuai usaha untuk mengusahawankan sektor koperasi, selari aspirasi kementerian menerusi pelbagai inisiatif seperti mempercepat pembiayaan, penubuhan pusat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pelbagai bentuk nasihat dan khidmat perundingan kepada koperatif dan syarikat berpotensi dan berdaya maju tinggi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Susulan pelantikan itu, Rosman akan melepas jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah bank berkenaan.

Beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Bank Rakyat sejak 1 Apri1 2019, dan kemudiannya memangku jawatan pengarah urusan bank itu mulai 1 Ogos tahun lalu.

Rosman memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Saint Louis University, Missouri serta Ijazah Petandbiran Perniagaan dari Urbana University, Ohio.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pengurus besar kanan, perkhidmatan korporat dan pegawai kredit serta ketua pembangunan dan latihan kerjaya di Maybank.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 7:21pm
d