bisnes

Ruang pameran baharu Ducati

Oleh Lizam Ridzuan

NEXT Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia membuka bilik pameran baharu, kemudahan kedua terbesar di Asia Tenggara bagi jenama motosikal berkuasa besar dari Itali.

Diiktiraf sebagai antara pusat servis terbesar Ducati di Asia, bilik pameran baharu Ducati PJ dibina di atas tapak seluas 16,339 kaki persegi, dengan bahagian servis seluas 5,009 kaki persegi.

Keluasan bahagian servis motosikal itu merangkumi lapan ruang kerja yang membolehkan ia menawarkan servis sehingga 450 motosikal sebulan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, bilik pameran terkini Ducati dibangunkan dengan pelaburan berjumlah RM1.5 juta.

Katanya, kemudahan terkini miliki Next Bike menawarkan pengalaman pembelian premium kerana bilik pameran itu diselaraskan dengan identiti korporat jenama Ducati terkini.

“Kami mewujudkan beberapa seksyen termasuk Ducati Apparel Tech dan Ducati Accessories serta Scrambler Camp,” katanya selepas majlis pelancaran di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, pelumba MotoGP, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci.

Ruang pameran berkenaan turut mempamerkan model Ducati utama termasuk Panigale V4 S, 916 Anniversario, Monster 821, Hypermotard 950 dan Diavel 1260 S, serta model Scrambler seperti Café Racer dan Icon.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nik Hamdam berkata, Next Bike merancang mengembangkan jenama Ducati di seluruh negara termasuk membuka pusat pengedaran baharu di wilayah Selatan pada separuh kedua tahun ini.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 8:27pm
d