bisnes

UEM Edgenta sokong usaha kerajaan

UEM Edgenta Bhd akan terus menyokong usaha kerajaan menerusi penerokaan peluang dalam lingkungan perkongsiannya dengan kerajaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Merican berkata, bagi menepati komitmen itu pihaknya sedang menyediakan perkhidmatan pengurusan tenaga di beberapa aset milik kerajaan dan swasta di seluruh negara.

“Terdapat peluang yang boleh UEM Edgenta teroka dalam perkongsian dengan kerajaan untuk menerajui inisiatif kecekapan tenaga, bermula daripada rangkaian aset kami yang luas dengan menjadikannya diperakui bangunan hijau,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya bersedia bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor tenaga dan membangunkan keupayaan mereka melalui Akademi Edgenta yang berperanan sebagai platform pembangunan industri.

Katanya, ia mencatatkan penjimatan elektrik terkumpul lebih RM55 juta melalui pelaksanaan usaha Kontrak Prestasi Tenaga bagi aset awam dan swasta dari 2017 hingga 2019.

Ia adalah sebahagian usaha syarikat untuk menyokong sasaran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mencapai lapan peratus penjimatan menerusi kecekapan tenaga pada 2025.

“Kami turut aktif memperkenalkan penyelesaian kecekapan tenaga di hospital di wilayah utara Semenanjung Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan (MOH) yang diuruskan syarikat ketika ini.

“Dari Januari 2017 hingga November 2019, kami menjana penjimatan bernilai RM41.1 juta bagi Kementerian Kesihatan dan berjaya mengurangkan pelepasan karbon di hospital berkenaan kepada kira-kira 72.2 juta kilo tan karbon dioksida,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 6:01am
d