bisnes

Sasar jualan RM1.6 bilion

PEMAJU hartanah terkemuka tempatan, LBS Bina Group Bhd yakin mencapai sasaran jualan RM1.6 bilion tahun ini disokong oleh kempen LBS Fabulous 2020 yang menawarkan ganjaran bernilai RM1 juta.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, selain itu, pihaknya menjangkakan penurunan kadar faedah pinjaman turut menjadi faktor peningkatan jualan tahun ini.

“Kempen ini dilancarkan bagi merancakkan jualan dengan tawaran ganjaran 550 hadiah bernilai RM1 juta.

“Ia secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada pelanggan kami khususnya dalam persekitaran pasaran yang mencabar ini.

“Kami di LBS sentiasa mengambil kira kepentingan pembeli dan berusaha sedaya upaya untuk memberi lebih ganjaran kepada pembeli hartanah kami,” katanya selepas pelancaran kempen LBS Fabulous 2020 di sini, semalam.

Kempen LBS Fabulous 2020 bermula dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 dengan tiga sesi cabutan bertuah yang diadakan sepanjang tahun.

Cabutan bertuah pertama akan diadakan pada Mei 2020, cabutan kedua pada Oktober 2020 dan diikuti cabutan ketiga pada April 2021.

Hadiah utama bagi pembeli hartanah bertuah ialah Proton X70 Premium 2WD, manakala hadiah lain termasuk Proton Exora, Proton Persona, Proton Iriz, Motosikal SM Sport R110, basikal, mesin basuh, peti sejuk dan mini Hi-Fi.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 6:05am
d