bisnes

CIMB, Matrade perkasa PKS

CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam usaha membantu membangunkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeksport tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya memberi fokus kepada PKS terbabit dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Dalam tempoh dua tahun ini (2019-2020), kami memperuntukkan RM15.5 bilion bagi membantu usahawan dari segi pembiayaan dan diharap menerusi kerjasama ini ia dapat dimanfaatkan PKS dan pengeksport tempatan.

“CIMB juga mengadakan beberapa siri latihan di bawah Program Pengeksport PKS Mampan membabitkan bidang ekonomi, persekitaran dan sosial (EES) dan sesi latihan ini di bawah inisiatif Sustainability Action Values for Exporters (SAVE) anjuran Matrade,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Matrade di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Dr Ong Kian Ming.

Tengku Zafrul berkata, CIMB komited menjadi bank pertama bekerjasama dengan Matrade bagi program SAVE, sekali gus menyokong objektif nasional mencapai sumbangan 50 peratus PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

Sementara itu, Wan Latiff berkata, pengeksport Malaysia perlu bersedia menjadi usahawan mampan dan berdaya saing agar dapat menembusi pasaran global.

“Jika mereka tiada persediaan sudah pasti ia akan menyebabkan produk dan perkhidmatan mereka gagal untuk memasuki pasaran yang lebih besar nanti,” katanya.

“Setakat ini, kami mempunyai 25,000 usahawan mendaftar di bawah Matrade dan melalui kerjasama ini, kami dan CIMB akan menyediakan lebih 12 sesi latihan untuk PKS,” katanya.

Sesi latihan itu akan bermula Mac 2020 dan dijangka akan memberi manfaat kepada 400 PKS di bawah Matrade.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 6:05am
d