bisnes

Platform produk harga rendah

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

TEKUN Nasional agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited meluaskan rangkaian kedai serbanekanya, Tekun Mart di setiap negeri seluruh Malaysia pada tahun ini.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihaknya melalui Tekun Nasional mengambil langkah proaktif dalam mendepani isu kos sara hidup dengan inisiatif platform pemasaran produk harga rendah iaitu Tekun Mart.

Katanya, setakat ini terdapat tiga premis Tekun Mart yang beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Lembah Subang.

“Selain memasarkan produk usahawan Tekun Nasional secara terus tanpa orang tengah, pelaksanaan Tekun Mart juga adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup pengguna di mana barangan yang dijual di Tekun Mart adalah 10 hingga 15 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Malah, 50 peratus unit simpanan stok (SKU) di Tekun Mart adalah produk keluaran usahawan tempatan dan kami menyasarkan setiap premis perlu mempunyai minimum 60 peratus SKU tempatan.

“Selain itu, kos pelaburan membuka konsep kedai Tekun Mart ini bermula dari RM180,000 bergantung kepada saiz dan lokasi,” katanya kepada media selepas merasmikan Tekun Mart TBS di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Mohamad dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Abd Ghani.

Sementara itu, Adam berkata, untuk permulaan, Tekun Mart yang beroperasi 24 jam itu akan dibuka di Melaka, Johor dan Kelantan.

“Kami menyasarkan untuk membuka Tekun Mart di setiap daerah, terutama dalam usaha mempromosi dan memasarkan produk usahawan Tekun Nasional,” katanya.

Tekun Mart menggunakan konsep seperti kedai serbaneka sedia ada di pasaran yang mempamerkan pelbagai barangan dengan suasana moden dan teratur.

Selain produk usahawan Tekun, barang keperluan harian serta produk makanan sedia dimakan turut dijual bagi menarik orang ramai datang ke TEKUN Mart.

Pelaksanaan TEKUN Mart terbahagi kepada beberapa kaedah seperti Company Owned Company Operated (COCO), Company Owned Dealer Operated (CODO) dan Dealer Owned Dealer Operated (DODO) bagi memberi pilihan kepada usahawan yang berminat menjalankan perniagaan Tekun Mart mengikut keupayaan masing-masing.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 7:10am
d