bisnes

Nestle tawar gaji seumur hidup, RM3,000 sebulan

Oleh Rosyahaida Abdullah

HANYA berbelanja minimum RM15 dalam satu resit, pelanggan Nestle berpeluang menerima gaji seumur hidup sebanyak RM3,000 sebulan.

Peraduan yang dikenali sebagai Nestle Gaji Seumur Hidup itu adalah antara inisiatif diambil Nestle bagi menghargai pelanggan setianya dan bermula esok sehingga 30 April depan.

Pengurus Pembangunan Kategori Nestle Malaysia, Chong Yin May berkata, hadiah utama berupa “gaji seumur hidup” itu ditawarkan kepada dua pemenang yang masing-masing bakal menerima RM3,000 setiap bulan untuk tempoh maksimum sehingga 35 tahun.

Terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, jelas Yin May, dua pemenang hadiah utama itu akan turut menerima wang tunai RM500,000 sebaik tempoh 35 tahun pembayaran “gaji” terbabit tamat.

“Selain dua hadiah utama ini, peraduan turut menawarkan hadiah sagu hati kepada 10 pemenang berupa “gaji satu tahun” juga sebanyak RM3,000 setiap bulan.

“Wang tunai RM500 juga akan diberikan kepada 50 pemenang setiap minggu sepanjang 11 minggu peraduan berlangsung.

“Dalam peraduan ini, pengguna layak menerima maksimum dua hadiah jadi pemenang hadiah mingguan juga masih berpeluang memenangi hadiah utama.

“Bagi memudahkan penyertaan, pengguna tidak perlu mengasingkan resit kerana jika anda membelanjakan RM30 untuk produk Nestle dalam satu resit misalnya, anda sudah automatik layak mengemukakan dua penyertaan.

“Lebih mudah, pengguna hanya perlu jawab satu soalan ringkas dan penyertaan boleh terus dilakukan sama ada secara pos atau melalui WhatsApp.

“Lebih banyak anda berbelanja, lebih banyak penyertaan yang layak anda kemukakan, lebih tinggi peluang untuk menang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan peraduan berkenaan di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols.

Sementara itu, Juan Aranols berkata, peraduan itu adalah sebahagian inisiatif pihaknya dalam menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan kepada Nestle.

Jelas beliau, peraduan itu disifatkan sebagai yang terbesar di Malaysia membabitkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM4 juta dan pihaknya menyediakan peluang semudah mungkin untuk pelanggan memenangi hadiah dengan hanya melakukan pembelian produk Nestle kegemaran mereka.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 4:28pm
d