bisnes

Sedia peluang kerja setempat

MCDONALD’S Malaysia yakin terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan khususnya di lokasi baharu restorannya.

Terbaharu, pembukaan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Bagan Ajam yang bukan saja membuka peluang pekerjaan, malah membolehkan McDonald’s menyantuni masyarakat setempat dan membantu meringankan beban mereka.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pembukaan restoran baharu itu juga menyaksikan McDonald’s Malaysia menyerahkan sijil pelantikan kepada belia Pulau Pinang dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyertai Perantis Vokasional McDonald’s.

“Bertepatan nilai teras syarikat, McDonald’s Malaysia sentiasa komited mewujudkan impak positif kepada komuniti di sekitar lokasi kami beroperasi.

“Sepanjang tahun lalu misalnya, lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan diadakan oleh lebih 290 restoran McDonald’s di seluruh negara dengan purata dua hingga tiga aktiviti sebulan,” katanya, semalam.

Restoran baharu itu dirasmikan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Azmir berkata, seiring pelan pertumbuhan McDonald’s, pihaknya menyasarkan mewujudkan 450 restoran menjelang 2025, termasuk 35 di Pulau Pinang.

Malah, McDonald’s Pandu-Lalu Bagan Ajam adalah restorannya ke-24 di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Azmir berkata, Perantis Vokasional McDonald’s adalah program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah.

Program yang ditaja sepenuhnya McDonald’s Malaysia itu diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Melalui program ini, belia yang terpilih mempelajari kemahiran diperlukan untuk memajukan diri seterusnya memulakan kerjaya yang menjamin masa depan dan meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya, sebaik pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program, mereka layak bekerja di restoran McDonald’s.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2018, Perantis Vokasional McDonald’s melatih 1,200 belia di seluruh negara.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 10:00am
d