bisnes

Dana Mudahcara RM400j pemangkin pelaburan

KERAJAAN perlu mempertimbangkan peruntukan bagi program Dana Mudahcara sebanyak RM400 juta pada tahun ini bagi memangkin pelaburan swasta dalam bidang strategik negara.

Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah memohon pertimbangan kerajaan bagi peruntukan dana itu.

“Jumlah ini sebenarnya adalah daripada baki peruntukan RM2 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang masih belum disalurkan.

“Untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Teraju sudah mengemukakan permohonan sebanyak RM2 bilion bagi meneruskan program-program sedia ada dan baharu dalam memperkasa agenda Bumiputera,” katanya.

Katanya, secara umumnya, pelaksanaan program Dana Mudahcara Teraju ini sudah memberi impak yang memberangsangkan kepada syarikat Bumiputera.

“Ini adalah antara dapatan kajian Impact Assessment program Dana Mudahcara Teraju pada 2019 ke atas 357 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dimana geran sebanyak RM502 juta disalurkan.

“Program ini juga sudah berjaya memberikan kesan positif seperti merealisasikan pelaburan baru yang memberi kesan limpahan ekonomi sebanyak RM10.4 bilion di mana setiap RM1 nilai Dana Mudacara yang digunakan, ia memberi nilai pengganda sebanyak 20 kali kepada negara manakala lapan kali ganda nilai tambah kepada syarikat penerima dana itu.

“Ia juga menghasilkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM4.2 bilion dan mewujudkan 11,600 peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2011, sebanyak RM1.76 bilion geran Dana Mudahcara Teraju sudah diluluskan kepada 474 syarikat Bumiputera bagi 550 projek dengan nilai pelaburan RM14.79 bilion serta mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan.

Katanya, program ini memberi sokongan dalam bentuk tipping point kepada sektor swasta dalam kalangan syarikat Bumiputera yang berkelayakan dan menggalakkan pelaburan sektor swasta bagi projek yang dilaksanakan serta menyediakan keperluan pembiayaan tambahan.

“Program ini berjaya meningkatkan pemilikan aset oleh syarikat Bumiputera serta membantu menangani isu monopoli dalam rantaian bekalan dengan memberi peluang syarikat Bumiputera bersaing secara sihat dalam perniagaan dan keusahawanan,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 7:00am
d