bisnes

Iskandar Mizal dilantik ganti Kamal

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MEDIA Prima Berhad (Media Prima), media bersepadu terbesar di Malaysia mengumumkan, Datuk Kamal Khalid menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 31 Mac 2020.

Datuk Kamal telah memegang pelbagai jawatan dan tanggungjawab semasa bersama Media Prima sejak 2009.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima; Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan; Ketua Pegawai Operasi, Pembangunan Perniagaan dan Antarabangsa; dan Ketua, Pengedaran Kandungan.

Beliau memainkan peranan penting dalam pelaksanaan fasa pertama usaha transformasi perniagaan Kumpulan, Odyssey, yang berfokus terhadap mempelbagaikan perolehan menerusi tiga bidang utama iaitu digital, perdagangan dan melangkaui pasaran Malaysia.

Susulan pengumuman itu, Kumpulan juga mengumumkan pelantikan Datuk Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad berkuat kuasa 1 April 2020.

Iskandar menyertai Media Prima sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan pada 1 Oktober 2019.

Iskandar berpengalaman lebih 30 tahun dengan pelbagai syarikat, daripada syarikat multinasional hingga ke syarikat berkaitan kerajaan, meliputi sektor perbankan pelaburan hingga ke sektor teknologi.

Beliau akan membawa pengalaman bersamanya untuk membantu Kumpulan dalam inisiatif transformasi syarikat dan pemulihannya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Dr Syed Hussian Aljunid berkata, Lembaga Pengarah Media Prima mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepemimpinan, dedikasi dan sumbangan Kamal.

“Datuk Kamal telah berkhidmat hampir 11 tahun dan beliau amat berdedikasi dalam menerajui syarikat semasa keadaan yang begitu mencabar dalam sejarah Media Prima,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga yakin dengan kepimpinan Iskandar yang akan meneraju Media Prima ke tahap baru kejayaan operasi dan prestasi kewangan.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 8:26pm
d