bisnes

TNB ambil alih 2 syarikat tenaga UK

TENAGA Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Tenaga Wind Ventures UK Ltd (Tenaga Wind) memperoleh baki 20 peratus kepentingan dalam dua syarikat tenaga diperbaharui di United Kingdom (UK) secara tunai pada harga £18.6 juta.

Pengambilalihan GVO Wind Ltd dan Bluemerang Capital Ltd adalah seperti yang dipersetujui pada perjanjian pembelian saham yang ditandatangani dengan penjual, Georg von Opel dan Tanzanite BV & Catalin Breaban, pada 28 Februari 2018.

Menerusi pengambilalihan ini, TNB kini memiliki keseluruhan aset dan kawalan ke atas kedua-dua syarikat dan aset masing-masing melalui Tenaga Wind.

Syarikat-syarikat ini adalah portfolio angin Tarif Galakan (FiT) yang terbesar di UK, terdiri daripada 53 turbin angin sederhana, dengan jumlah gabungan kapasiti sebanyak 26.1 megawatt (MW).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengambilalihan terbaru itu akan menjadi asas perniagaan tenaga diperbaharui antarabangsa TNB dan penggerak untuk strategi pertumbuhan kumpulan di pasaran tenaga diperbaharui (RE) Eropah sebagai langkah ke hadapan.

Katanya, pengambilalihan itu sejajar dengan strategi TNB mengembangkan perniagaan RE yang memanfaatkan aset, kemampuan dan pengalaman yang sedia ada.

“Strategi ini membabitkan TNB memperluas peranannya dalam landskap RE dan rantaian nilai, ia termasuk pembangunan, pemilikan, operasi dan menguruskan portfolio aset RE,” katanya.

Menurutnya, pengambilalihan awal 80 peratus kepentingan itu telah menyumbang secara positif kepada kewangan dan objektif strategik TNB.

TNB secara aktif menguruskan aset ladang angin sejak pengambilalihan pada tahun 2018.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 7:25am
d