bisnes

Tempoh mencabar PKS

KETIKA penularan Covid-19 memasuki gelombang keduanya di Malaysia, kesediaan bank selain langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan rangsangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) semasa tempoh sukar ketika ini.

“Sebagai tulang belakang ekonomi negara, sektor PKS layak mendapat semua bantuan yang ia boleh dapatkan semasa tempoh mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Keutamaannya adalah menyediakan PKS dengan modal kerja tambahan bagi mengekalkan perniagaan mereka dan seterusnya melindungi pekerjaan, terutamanya dalam sektor terjejas seperti pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan makanan dan minuman,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel.

Bagi tujuan ini, pakej RM3.3 bilion BNM sudah pastinya akan membantu meringankan beban kewangan PKS.

“Selain daripada pembiayaan, kami juga menyambut baik inisiatif seperti Kemudahan Agrofood bernilai RM1 bilion serta Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS sebanyak RM300 juta.

“Kemudahan ini bukan sahaja mempunyai kadar pembiayaan rendah, tetapi juga tempoh yang lebih panjang. Ciri-ciri pembiayaan seumpama itu penting bagi memudahkan pelan pertumbuhan jangka sederhana PKS,” katanya.

CIMB juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa semua permohonan bagi penstrukturan semula dan penjadualan semula kemudahan pembiayaan mereka akan diberikan pertimbangan sewajarnya.

BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus pada 3 Mac, 2020, yang menjadi pengurangan kadar kedua oleh bank pusat itu tahun ini.

Penurunan itu bertujuan menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif untuk menyokong jangkaan peningkatan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah kestabilan harga.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata, bank itu optimis ekonomi domestik kekal kukuh, disokong langkah monetari dan fiskal serta institusi kewangan yang proaktif membantu pelanggan mengharungi tempoh sukar ini.

Penularan Covid-19 menjejaskan perniagaan di seluruh dunia yang membawa kepada naik turun pasaran ketika ini, dengan PKS terutamanya lemah dari segi menguruskan aliran tunai, inventori dan pengedaran barang dan perkhidmatan mereka semasa tempoh ini, kata Fuda.

Beliau juga sependapat dengan Tengku Zafrul bahawa Kemudahan Bantuan Khas BNM yang menyediakan bantuan RM2 billon dalam bentuk modal kerja bagi PKS serta Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bukan hanya akan membantu PKS yang terjejas memastikan kesinambungan perniagaan mereka dan memudahkan modal kerja mereka pada tempoh mencabar ini tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk meningkatkan sumber, supaya mereka boleh bangkit semula dengan pantas sebaik sahaja situasi bertambah baik. – Bernama

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 7:00am
d