bisnes

Pendapatan penggodam naik mendadak

Oleh Rosyahaida Abdullah

KERJAYA sebagai penggodam menyaksikan pertumbuhan luar biasa apabila mampu menjana pendapatan berkali ganda dalam tempoh hanya setahun.

Berdasarkan Laporan Penggodam 2020 (2020 Hacker Report) yang dikeluarkan HackerOne, baru-baru ini, penggodam dari negara Asia Pasifik (Apac) merekodkan kenaikan 250 peratus dalam pendapatan terkini mereka berbanding 2018.

Pengarah Kanan Global Hacker Community Luke Tucker berkata, merujuk kepada data yang dikutip pada Disember dan Januari lalu membabitkan lebih 3,000 responden di seluruh dunia, India antara negara tertinggi dari segi pendapatan penggodam membabitkan hampir RM15 juta pada 2019.

Kata beliau, jumlah itu secara tidak langsung menjadikan India berada pada kedudukan kedua dunia bagi kategori itu, malah angka terbabit juga mewakili 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan penggodam yang direkodkan secara global.

“Begitu juga negara Apac lain antaranya China dan Hong Kong yang tersenarai sebagai 10 negara menerima bayaran tertinggi bagi kerjaya penggodam.

“Singapura pula merekodkan pembayaran lebih RM1.6 juta kepada penggodam global.

“Dengan 18 peratus responden turut mengakui penggodaman kini adalah kerjaya sepenuh masa mereka bagi mewujudkan persekitaran alam maya yang lebih selamat untuk semua, ini secara tidak langsung menjadikan penggodaman sebagai karier berdaya maju pada masa kini dan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menjelas lanjut, menurut Tucker, di peringkat dunia, penggodam di Switzerland dan Austria menerima pendapatan sembilan kali ganda pada tahun lalu berbanding 2018.

Malah katanya, komuniti penggodam terus meningkat dengan angka hampir sekali ganda kepada 600,000 mendaftar dalam platform komuniti penggodam HackerOne ketika ini.

“Penggodam kini menjadi keperluan dalam memastikan keselamatan masyarakat dunia yang saling berhubung.

“Komuniti kami mengalu-alukan penyertaan penggodam dari seluruh dunia untuk sama-sama mencari penyelesaian kepada masalah dengan lebih kreatif.

“Penyebab mereka menggodam mungkin berbeza tetapi hasil kerja penggodam ini meletakkan organisasi yang menggunakan khidmat mereka di tahap lebih baik, khususnya dalam menyediakan persekitaran Internet yang lebih selamat berbanding sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 7:05am
d