bisnes

7.4 juta pemohon nikmati program e-Tunai Rakyat

SEBANYAK 7.4 juta permohonan program e-Tunai Rakyat bernilai RM30 setiap permohonan sudah diluluskan setakat pukul 12 tengah malam semalam, sejak ia dilancarkan pada 15 Januari lalu.

Menurut sumber daripada Kementerian Kewangan, sehingga kini kerajaan sudah memperuntukkan lebih RM222 juta untuk inisiatif itu yang akan berakhir Sabtu ini.

“Program e-Tunai Rakyat masih berjalan dan akan berakhir pada 14 Mac ini,” katanya.

Diperkenalkan ketika di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), syarat permohonannya ialah pemohon mesti rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun adalah layak untuk menerima wang e-tunai itu melalui mana-mana e-dompet yang mengambil bahagian.

Di bawah Belanjawan 2020, kerajaan melaksanakan program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta yang mengagihkan RM30 kepada setiap orang yang layak untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital di negara ini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa aplikasi di e-dompet sudah menunjukkan notifikasi tamat tempoh sejak semalam untuk menuntut insentif itu.

Bagi memastikan inisiatif ini akan mempercepatkan proses pendigitalan Malaysia, RM30 itu mesti dibelanjakan pada 14 Mac 2020, dan baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh berkenaan.
- Bernama

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 7:15am
d