bisnes

Intai sektor luar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Faliqah Alia Radin Mohd

UEM Edgenta Berhad komited mengembangkan lagi portfolio luar negaranya terutama di Indonesia, sekali gus mengintai sektor berpotensi tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya melihat infrastruktur dan kesihatan adalah antara bidang yang boleh diterokai.

Katanya, UEM Edgenta sudahpun mempunyai kontrak baharu di Indonesia bernilai RM182 juta bagi penyelenggaraan Lebuhraya Cikampek-Palimanan selama tiga tahun.

“Memandangkan kami memang sudah berada di pasaran Indonesia, kumpulan berusaha untuk meneroka potensi projek lain dan setakat ini kami berjumpa dengan pihak berkuasa serta pengendali lebuh raya dan pemain lain di sana.

“Selain Indonesia, UEM Edgenta telah mencapai pertumbuhan organik di Singapura, Taiwan dan Timur Tengah Asia Barat.

“Bagi tempoh jangka panjang, kami akan memberi tumpuan meneroka pasaran di negara berdekatan terutama di Asean,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan UEM Edgenta bagi tahun kewangan 2019 di sini, semalam.

UEM Edgenta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berjaya mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM181.78 juta berbanding RM148.43 juta tempoh sama sebelumnya.

Perolehannya meningkat kepada RM2.41 bilion daripada RM2.18 bilion sebelum ini dengan sebahagian besar disumbangkan oleh segmen pengurusan aset dan perniagaan penyelesaian infrastruktur.

Selain itu, bahagian sokongan penjagaan kesihatan syarikat itu turut mencatat peningkatan pertumbuhan 15 peratus bagi perolehan tahun penuh kepada RM1.1 bilion.

Azmir berkata, UEM Edgenta telah mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 13.3 peratus.

Beliau berkata, selain luar negara, UEM Edgenta juga akan meneruskan tumpuan terhadap projek di Sabah dan Sarawak serta memperuntukkan pelaburan di kedua-dua lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 7:30am
d