bisnes

Azmin mula tugas di MITI

Oleh Bisnes HM

MENTERI Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memulakan tugas rasminya hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama dengan 11 agensi di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Ketibaan Mohamed Azmin di Menara MITI pada 2.55 petang disambut oleh Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali bersama-sama kakitangan kementerian serta barisan pengurusan utama agensi-agensi berkenaan.

Selepas majlis taklimat di mana beliau turut menandatangani plak elektronik dan menerima pas kerja rasmi yang disediakan MITI, Mohamed Azmin terus ke bilik mesyuarat.

MITI dalam kenyataan berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri, Datuk Lim Ban Hong.

Agenda utama yang terkandung dalam mesyuarat itu adalah perancangan pembangunan perindustrian di Malaysia, pelaburan dan perdagangan bagi 2020 serta pada masa akan datang.

Menurut MITI, antara yang menjadi tumpuan adalah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, Dasar Automotif Nasional (NAP), Revolusi Perindustrian 4.0, perkembangan semasa negara dan pencapaian dalam perdagangan antarabangsa serta prestasi pelaburan.

Malah, menteri turut menekankan kepentingan meningkatkan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengukuhkan pelaburan domestik syarikat tempatan dan menarik pelaburan asing berkualiti khususnya dalam keadaan kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Malah, kementerian juga akan mengambil perhatian terhadap syarikat tempatan yang mendapatkan sumber dari China.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 8:31pm
    d