bisnes

Sasar 100 unit sebulan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

ROZEL Corporation Sdn Bhd (Rozel) mempelbagaikan barisan produk baharunya dengan memperkenalkan koleksi tilam premium pertama dan terbaik di bawah jenama Rozel Maxiflex.

Pengurus Pemasarannya Steven Gan berkata, Rozel Maxiflex direka khas bagi memberi pengalaman tidur mewah yang berfungsi menyokong badan dengan cara paling selesa.

Katanya, di bawah Rozel Maxiflex ada tiga pilihan tilam ditawarkan iaitu Spinal Care, Royal Crown dan Legacy.

“Kami memperuntukkan masa lebih setahun bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) barisan produk Rozel Maxiflex.

“Semua tilam direka dengan fungsi khas untuk pengguna terutama mereka yang ingin mendapatkan tidur lena dan sempurna.

“Kami menyasarkan lebih 100 unit terjual sebulan untuk semua kategori tilam Rozel Maxiflex,” katanya pada majlis pelancaran Rozel Maxiflex di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Rozel, Gan Tai Hwa.

Steven berkata, harga barisan tilam Rozel Maxiflex bermula RM3,990 hingga RM11,900.

Bagaimanapun, sempena pelancaran itu pihaknya menawarkan diskaun hingga 35 peratus untuk tempoh sebulan.

“Tawaran hebat ini bermula hari ini (semalam) hingga sebulan dan mereka yang berminat mendapatkan tilam Rozel Maxiflex boleh berkunjung ke bilik pameran Rozel di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurutnya, setakat ini ada 16 bilik pameran Rozel di seluruh negara kecuali Sabah yang mempamerkan pelbagai produk gaya hidup terkini seperti perabot dan tilam bagi segmen pertengahan hingga premium.

“Kami ada membuat perancangan untuk membuka bilik pameran Rozel di Sabah, namun masih mencari lokasi bersesuaian,” katanya.

“Buat masa ini, kami akan memberi tumpuan terhadap rangkaian bilik pameran sedia ada dan juga produk baharu yang diperkenalkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:05am
d